Monolog Azli Shukri : Bab 15 : Monolog Terakhir Azli
MONOLOG AZLI SHUKRI
Bab 15 : Monolog Terakhir Azli
Bab 15 : Monolog Terakhir Azli
Kurang 6 hari lagi, genaplah setahun saya menjadi bloggers amatur dalam alam maya. Penuh ranjau dan berliku untuk menjadi bloggers yang cuba sedaya upaya bercakap benar. Segala macam cemuhan, fitnah dan cacian saya terima, malah tidak kurang juga pujian dan sanjungan. Semua itu, merupakan asam garam kehidupan. Kita harus berhadapan dan bersabar dengan barisan kawan-kawan yang tidak setia dan jujur, dengan kawan-kawan yang menikam dan memburukkan kita dari arah belakang, dan dengan kawan-kawan yang mahu melihat kita tersungkur. Namun demikian, dalam hidup ini masih terdapat juga kawan-kawan yang benar-benar menghargai persahabatan.
Monolog ini adalah monolog terakhir saya, setelah selama setahun ia disiarkan di dalam blog ini. Ada yang menyokong dan ada yang tidak menyukainya. Tetapi, itu merupakan hak masing-masing. Saya masih percaya kepada kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat. Itu adalah hak asasi manusia.
Menyalahkan kerajaan dan memburukkan pembangkang semata-mata - itu bukan jalan penyelesaian. Malaysia akan memasuki fasa politik penuh cabaran selepas ini, tiada lagi parti yang kuat dan kukuh, orang Islam akan banyak bergantung kepada bangsa lain untuk berjaya dan yang lebih penting, hak dan keistimewaan orang Melayu akan mula dipersoalkan oleh bangsanya sendiri.
Sepanjang saya menjadi bloggers - saya tidak hanya hilang pekerjaan lantaran sesetengah pihak yang membenci mendengar kebenaran, saya dituduh menyeleweng dan mengkritik bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin di dalam blog ini, maka tindakan harus segera diambil ke atas saya. Saya diminta untuk menutup blog ini , gara-gara saya mengkritik Pak Lah dan Khairy - orang seperti ini tidak faham antara mengkritik kerajaan, UMNO dan kepimpinan. Hari ini, dunia semakin berubah dan terbuka, mana-mana individu yang sukar untuk menerima kritikan, maka akan ketinggalan dalam meningkatkan kemampuan dan ketahanan diri mereka. Sekarang, terbukti bukan sahaja Tun Mahathir mempunyai blog, malah Datuk Seri Najib dan Tuan Guru Nik Aziz pun sudah mempunyai blog masing-masing. Inilah gambaran langit terbuka dan mengizinkan sesiapa mengeluarkan pandangan dan pendapat.
Sepanjang saya menjadi bloggers, tidak kurang tulisan-tulisan saya telah dijadikan rujukan serta perbincangan hangat diserata dunia, ada yang mencemuh dan ada juga yang menyokong. artikel saya bertajuk "Kebenaran Tanpa Penghujung" telah dilayari lebih daripada 2000 pengunjung dan tidak kurang daripada 300 laman web/blog menyiarkan artikel tersebut, sama ada sebagai paparan umum mahupun sebagai perbincangan dalam komuniti alam siber masing-masing. Manakala, siri Monolog Azli Shukri pula, merupakan antara artikel yang begitu banyak mendapat perhatian komuniti maya sejak ia dipaparkan di dalam blog ini. Mana-mana yang baik ambillah, dan mana-mana yang tidak baik maka tinggalkanlah.
Dan tidak kurang juga, artikel saya bertajuk "Hikayat Dewan Ekonomi" benar-benar menggemparkan ramai pihak, khususnya para pembaca majalah tersebut. Kisah benar yang menimpa saya itu, telah saya rakamkan untuk tatapan umum, bagi memastikan masyarakat dan rakan-rakan saya mendapatkan gambaran yang sebenar tentang apa-apa yang telah berlaku ke atas diri saya selama ini, khususnya ketika saya bekerja di DBP. Walaupun siri tersebut belum tamat, dan masih dalam penyambungan, tetapi permintaan terhadap kisah tersebut sangat menggalakkan. Saya terpaksa memberhentikan kisah tersebut untuk sementara waktu, kerana beberapa faktor, antaranya terdapat rakan-rakan saya yang telah ditekan di tempat kerja akibat penyiaran kisah tersebut, dan yang kedua, blog saya ingin memberi laluan khas kepada kempen Datuk Mukhriz bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO baru-baru ini.
Sepanjang setahun ini, banyak yang saya pelajari sebagai seorang blogger, jika kita bercakap benar sekalipun orang tetap tidak akan suka, apatah lagi jika kita berbohong. Maka, pengajaran yang penting harus kita ketahui ialah, "Jangan peduli siapa yang kata, yang penting kebenaran harus tetap ditegakkan." Salam Bloggers dan terima kasih kerana setia membaca blog saya ini, hanya Allah sahaja yang membalas jasa tuan-tuan yang sudi membacanya, moga kita memperoleh manfaat.
Seperti yang saya jelaskan, ini merupakan Monolog Azli Shukri siri terakhir setelah genap setahun siri ini berada di alam maya, namun demikian siri ini akan digantikan dengan posting yang lebih menarik dan berinformasi iaitu, Tafsir Al-Azli. Artikel tersebut bukanlah tentang tafsir al-Quran, sebaliknya lebih kepada bentuk tazkirah dan nasihat untuk umat Islam bersatu dan berpadu. Wallahualam. Akhir kalam, terima kasih atas segala sokongan rakan-rakan, baik yang saya kenali mahupun yang tidak saya kenali. Semoga Allah merahmati kita semua.
Gambar : Penulis bersama dengan Datuk Nazir Razak, CEO CIMB
No comments:
Post a Comment