Dalam renyai hujan, Zulaikha mengamati rintik rintik hujan.
Hujan. Hadir hujan kerana awan.
Setiap yang berlaku ada sebab dan alasan.
Zulaikha masih di balkoni biliknya. Penat duduk kemudian berdiri. Sesekali bersandar di dinding sambil memeluk tubuh. Tiada siapa disisinya tika ini. Ingin memujuk Azlan. Penat. Penat berfikir tentang rencana. Ingin sekali Zulaikha bermandi renyai hujan, agar kemarau hatinya hilang. Mana mungkin kemarau hatinya hilang begitu sahaja. Ah... tak mungkin pujukan Zulaikha mampu melembutkan hati Azlan.
Zulaikha tidak setanding Mariam. Tidak setanding Azhar juga.
Zulaikha hairan. Mengapa setiap kali keluarganya ada kerja kenduri, Azlan pasti tidak berminat untuk bersama-sama membantu. Berbeza dangan Zulaikha. Pernah tika Mariam mahu melangsungkan perkahwinan esoknya, kereta Azlan buat perangai. Mana mahu dicekau wang tika malam gelap gelita. Pada Mak Chom, Zulaikha mengemis bantuan kewangan. Pada sahabatnya Ku Irma diminta ambilkan Zulaikha dan Azlan di Masai. Tak terbalas budi Ku Irma. Sanggup menjemput Zulaikha dan Azlan di Masai. "ah lupakan sahaja malam itu!" Zulaikha berbisik sendiri.
Apa yang Zulaikha fikirkan diwaktu ini, seingat Zulaikha tidak pernah dirinya menolak untuk hadir dalam kerja-kerja kenduri.
"Kamu Zulaikha, jangan nak duduk senang lenang, tolong-rolong ringan kan tangan bantu apa yang patut di dapur. Mak Jah dah ada bahagian Mak Jah yang nak disiapkan."
Sampai sekarang Zulaikha masih ingat dialog itu. Sering bermain-main di cuping telinga Zulaikha. Gegendang bingit. Hati sakit. Semua harus di tolak ke tepi. Biar seribu kali mengadu, Azlan bagaikan tidak endah.
Zulaikha teringat peristiwa 5 tahun yang lalu. Belum sempat lelah di hela, kata-kata sinis menerpa laju. Baru sahaja duduk bersimpuh merehatkan diri dari perjalanan jauh. Badan lemah membawa perut yang berisi. Sedikit tiada simpati.
Itu Zulaikha. Ya, belum sempat penat di lepaskan, bangkit bangun menuruni anak tangga menuju ke khemah memasak. Periuk-periuk belanga berisi lauk pauk untuk majlis esok hari menusuk ke hidung. Harum serai. Manis bawang. Pisau diambil, bawang bawang di buang kulitnya. Halia dihiris hiris halus. Meriah dengan suara disitu.
Berbeza dangan Azlan, pernahkah Azlan diperlakukan seperti Zulaikha tatkala bersama ahli keluarganya apabila ada kerja-kerja kenduri. Tidak. Tidak berani keluarga Zulaikha mengarah atau mengomel. Hatta mengajak ke pasar juga keluarga Zulaikha segan. Sedarkah Azlan tentang itu. Kira pulang ke kampung, masakan yang enak pasti terhidang. Pantang sekali Azlan meminta lauk yang jarang jarang sekali dimasak. Pasti disediakan. Kiranya tiada bahan, Mak Long Ayu akan segera ke pasar.
Lusa, anak Mak Ngah Jumi akan melangsungkan perkahwinan. Sudah dewasa si Fatin Nasuha. Bakal menjadi isteri. Zulaikha gelisah. Fatin. Ya Fatin. Berkali-kali telefon, mengingatkan tentang hari bahagianya. Zulaikha gusar. Azlan seakan tidak berminat untuk turut serta. Telah Zulaikha duga.
Hujan yang tadi renyai kini makin lebat. Zulaikha masih di balkoni. Dia ingin diam di situ sahaja. Hati sakit siapa yang tahu.
Azlan beria ia mahu mengikut Mariam sekeluargaa bercuti di Redang.
Pedih!