Oleh : Norazifi Mohamad @ Mohamed
Panel Penulis JAKIM
Episod penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dan kaum muslimin dari Mekah ke Madinah mempunyai hikmah yang bukan sahaja membuka jalan kepada perkembangan Islam dan mendekatkan diri kepada Allah, tetapi juga memberikan nafas baru dalam hubungan sesama manusia. Masyarakat Arab Jahiliyah ketika itu sangat kuat dengan semangat assabiyahnya sehingga sering berlaku pertumpahan darah sesama kabilahnya. Hijrahnya Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabatnya ke Madinah yang membawa bersama akidah Islam yang suci telah membentuk cara hidup berlandaskan Islam.
Hijrah telah menukarkan prinsip taksub dan amalan jahiliyah kepada ketaatan yang total kepada Islam. Hijrah Rasululullah s.a.w ini membawa dakwah Islamiah kepada tahap kedua iaitu perlaksanaan ajaran Islam sepenuhnya terutama jihad di mana sebelum itu selama tiga belas tahun di Mekah, seruan Islam lebih menekankan aspek tauhid dan keimanan kepada Allah. Tertegaknya Daulah Islamiah di Madinah iaitu hasil dan berkat peristiwa hijrah ini maka bermulalah ayat-ayat al-Quran yang diturunkan selepas itu mengajar umat Islam tentang kewajipan dan tanggungjawab terhadap sesama manusia yang merangkumi sistem pentadbiran, ekonomi, politik dan kemasyarakatan termasuklah sistem kekeluargaan dalam Islam. Berdasarkan dua peringkat dakwah Islamiah ini, dapatlah diambil satu pengajaran iaitu dalam membentuk keluarga Islam yang cemerlang, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah memperkuatkan akidah dan keimanan terutama kepada pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga.
Rumahtangga merupakan alam baru yang perlu ditempuh tanpa ada tempoh percubaan. Kebahagiaan atau sebaliknya amat bergantung sejauh mana persediaan pasangan itu dalam bekerjasama mewujudkan keharmonian dan persefahaman sesama mereka. Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 80 yang bermaksud,
'Dan Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat tinggal (mendapat ketenangan di dalamnya)'
Islam telah menggariskan satu panduan hidup yang lengkap dan rapi pada segala perkara yang berkaitan dengan penghidupan manusia. Keamanan dan kesejahteraan yang wujud dalam sesebuah keluarga adalah faktor terpenting bagi mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni, bahagia dan cemerlang. Tugas setiap ahli keluarga hendaklah dilaksanakan dengan sempurna mengikut hak masing-masing. Suami mempunyai hak ke atas isteri dan anak-anak dan demikian jugalah sebaliknya. Jika setiap anggota keluarga tahu melaksanakan hak mereka maka akan wujud keharmonian dan kecemerlangan di dalam keluarga mereka.
Keluarga Islam wajib menjadikan Islam sebagai panduan dan cara hidup. Syariah, akidah dan akhlak Islam perlu menjadi dasar hubungan kekeluargaan ini. Menjadi tugas dan tanggungjawab suami isteri untuk mendokong dan menghayati konsep al-Mawaddah dan al-Rahmah sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Al-Rum ayat 21 yang bermaksud;
'Antara tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t ianya mencipta untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan antara kamu rasa kasih sayang (Al-Mawaddah) dan belas kasihan (Al-Rahmah), sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda orang-orang yang berfikir'.
Terdapat beberapa ciri yang perlu ada untuk membentuk sebuah keluarga cemerlang antaranya bertakwa, bekerjasama, saling memahami, sayang menyayangi dan bertanggungjawab. Konsep ketakwaan kepada Allah s.w.t harus dititikberatkan dalam setiap ahli keluarga iaitu taat segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah s.w.t. Sembahyang lima waktu contohnya, tidak seharusnya diabaikan oleh setiap ahli keluarga. Anak-anak yang masih kecil seharusnya dididik mengerjakan sembahyang supaya apabila dewasa nanti mereka memahami bahawa sembahyang itu adalah wajib bagi setiap umat Islam. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,
'Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka ketika berumur 10 tahun sekiranya mereka enggan; dan pisahkan tempat tidur mereka.'
(Riwayat Al-Hakim dan Abu Daud)
Bagi membentuk keluarga cemerlang juga, kita perlu berhijrah dengan menjadikan rumah sebagai ‘syurga’ iaitu tempat yang penuh dengan ketenangan, kenikmatan dan kebahagiaan. Ini dapat dicapai dengan mengerjakan sembahyang berjemaah sekeluarga dan menerapkan amalan membaca al-Quran atau bertadarus bersama-sama. Pembacaan buku agama di rumah beramai-ramai juga merupakan amalan yang sihat bagi rumahtangga cemerlang kerana secara tidak langsung dapat menambah dan meluaskan ilmu pengetahuan ahli keluarga.
Amalan-amalan tersebut selain mempunyai faedah yang besar, ia dapat mendidik anak-anak menghayati budaya keluarga Islam yang cemerlang. Ia juga dapat menghindari ahli-ahli keluarga terjerumus ke dalam maksiat dan kemungkaran seperti keruntuhan akhlak atau haruan makan anak.
Oleh itu, setiap lelaki muslim sebelum melangkahkan kaki ke alam perkahwinan dan menjadi ketua keluarga, adalah menjadi satu kewajipan melengkapkan dirinya dengan pelbagai ilmu terutamanya ilmu-ilmu agama sebagai persiapan membina keluarga cemerlang. Firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud;
'Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah belanjakan sebahagian dari harta benda mereka.'
Sebagai ketua keluarga, suamilah yang mencorakkan kehidupan sesebuah keluarga. Jika keluarga dicorakkan dengan acuan kehidupan ala barat, maka begitulah jadinya. Tetapi jika suami mempunyai kesedaran roh Islam, sudah pasti akan terdidiklah ahli keluarga mereka dengan syariat Islam yang sebenar. Anak-anak yang tabiinya berkeadaan suci bersih maka ditangan ibu bapalah yang mencorakkan kehidupan anak mereka. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,
'Tiap-tiap anak dilahirkan berkeadaan fitrah (suci bersih), maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi'
(Riwayat Bukhari)
Ketenangan dalam rumahtangga tidak akan wujud tanpa berusaha ke arahnya. Seorang suami yang mempunyai kuasa mutlak dalam keluarga seharusnya lebih bertolak ansur dan memahami keadaan isterinya dalam menempuh arus kehidupan dalam zaman yang serba moden ini. Tekanan kerja dan kos kehidupan yang semakin mencabar bukanlah alasan untuk mengabaikan tanggungjawab dan layanan kepada pasangan. Perubahan seperti inilah yang memenuhi maksud hijrah dalam konteks suami masa kini. Oleh itu, si suami harus lebih memahami isterinya, bertolak ansur, sentiasa kasih mengasihi, memperbanyakkan sabar, tabah di dalam menghadapi gelora rumahtangga dan menjadikan sikap suka bermaaf-maafan sebagai satu amalan. Dengan itu, segala masalah yang timbul dapat diatasi dengan aman dan keharmonian rumahtangga terus terpelihara.
Isteri adalah berkongsi peranan dalam membantu suami mencapai matlamat rumahtangga yang dibina. Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Nasai bermaksud,
'Sebaik-baik isteri ialah menggembirakan suami apabila dilihat, apabila suami memerintah dia patuh dan apabila suami tidak ada di sisinya dia menjaga kehormatan dirinya dan harta kepunyaan suaminya'.
Islam telah memberi garis panduan yang jelas berkenaan ketaatan seorang isteri kepada suaminya iaitu bukan pada perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam iaitu al-Quran dan Sunnah. Isteri sememangnya memiliki kelebihan dan potensi yang tiada pada suami. Kelembutan, penyayang dan penyabar merupakan ciri terpenting dalam mendidik anak-anak dan pasangan hidup yang sempurna. Oleh itu, isteri mesti memainkan peranan membina keluarga cemerlang dengan tidak meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada suami. Maka sewajarnyalah si isteri berubah dan berhijrah menjadi isteri yang solehah, berperanan secara aktif dan optimis serta bersama-sama berganding bahu membina keluarga Islam yang sebenarnya.
Jika suasana rumahtangga mulai hambar, suami isteri perlu mengimbas kembali keindahan rumahtangga yang pernah mereka kecapi di awal-awal perkahwinan. Jika suami isteri mula merasai ada unsur-unsur kebosanan dalam keluarga, masing-masing perlu segera memainkan peranan untuk membaikinya. Ini kerana keluarga cemerlang adalah berasaskan kebahagiaan hubungan suami isteri itu sendiri.
Bagi mengelakkan sebarang masalah atau perselisihan, suami isteri perlu bekerjasama dan saling berbincang tentang hal-hal yang berkaitan dengan urusan rumahtangga, pendidikan anak-anak mahupun kewangan.
Oleh itu, sewajarnyalah kita berhijrah meninggalkan sikap yang lama iaitu mementingkan kerehatan diri sendiri setelah pulang bekerja sama ada suami atau isteri dan mengabaikan tugas dan peranan sebagai ahli keluarga. Mereka seharusnya bekerjasama dan bersabar dalam membina kerukunan rumahtangga. Suami isteri harus bijak dan berlatih membahagikan masa serta saling bertoleransi antara satu sama lain kerana hasil yang baik tidak mungkin dapat dikecapi tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dan berpenat lelah terlebih dahulu.
Suami seharusnya menyedari tentang beban pasangannya. Dia seelok-eloknya bersikap berkasihan belas kerana banyak perkara yang perlu si isteri lakukan dalam masa yang singkat seperti menjaga kebajikan suami dan anak-anak, pendidikan anak-anak, urusan rumahtangga dan keperluan dirinya sendiri. Dalam masa yang sama si isteri tidak seharusnya mementingkan diri sendiri tetapi turut menghalusi beban yang ditanggung oleh suami dalam meningkatkan ekonomi keluarga. Jelas di sini bahawa seisi keluarga harus saling memahami masalah dan beban tugas masing-masing dalam pekerjaan, rumahtangga dan pendidikan anak-anak. Di samping itu, bebanan yang wujud ini menimbulkan pelbagai emosi yang positif dan negatif. Bagi mengekalkan keharmonian dalam keluarga, masing-masing perlu berperanan menjaga emosi pasangannya.
Firman Allah dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud;
'Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari seksaan api neraka'
Berdasarkan ayat ini, ternyatalah suami isteri bertanggungjawab untuk berusaha mendidik anak-anak sejak dari kecil dengan asas keimanan iaitu rukun-rukun dan prinsip-prinsip agama yang luhur. Bagi mengimbangi didikan yang diterima oleh anak-anak, ibu bapa juga perlu meluaskan dalam memberi pendidikan seperti pendidikan akademik, jasmani, akal, kejiwaan dan kemasyarakatan. Ini supaya anak-anak dapat membesar dalam keadaan seimbang sebagai seorang anak yang soleh.
Ibu bapa perlu bersama-sama melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak. Sikap meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada guru dan para pendidik dalam urusan pembelajaran anak-anak perlulah diubah. Hijrah sikap yang sebegini amat penting kerana anak-anak juga terbentuk dan terdidik oleh pengaruh persekitaran. Oleh itu, mentaliti ibu bapa perlu diubah atau di’hijrah’kan dengan mewujudkan persekitaran yang baik yang terdiri daripada ibu bapa sendiri, guru, sekolah, masyarakat dan media yang menjurus ke arah pembentukan insan yang soleh, berguna dan cemerlang.
Keluarga cemerlang memerlukan anak-anak yang terdidik dengan sifat kasih sayang, penuh ketaatan dan rasa tanggungjawab. Anak merupakan amanah Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya. Kelahirannya seumpama kain putih bersih daripada noda dan kekotoran duniawi. Justeru, yang mencorakkan warna-warnanya adalah ibu bapa sendiri. Anak memainkan peranan yang penting untuk menjadikan suasana yang harmoni dalam keluarga. Ibu bapa perlulah memberi didikan yang sempurna kepada anak-anaknya sama ada ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi. Dengan didikan yang sempurna ini, anak-anak dapat memikirkan perkara yang baik dan buruk, seterusnya mentaati ibu bapanya yang melahirkannya ke dunia. Taat kepada ibu bapa ini bukanlah taat kepada perkara yang mungkar seperti meninggalkan sembahyang, puasa dan lain-lain, tetapi ketaatan seorang anak itu adalah atas perkara yang makruf dan yang diredhai Allah s.w.t. Perlulah diingat bahawa seorang anak tidak boleh berlaku kasar atau menzalimi kedua-dua ibu bapanya sekalipun sekadar menyebut perkataan ‘ah’ kerana ia sudah dianggap menderhaka dan berdosa besar.
Menuntut ilmu juga adalah peranan yang perlu dilakukan oleh setiap anak dari keluarga yang cemerlang. Ilmu yang perlu dituntut bukan hanya ilmu keduniaan seperti sains dan matematik, bahkan juga ilmu akhirat seperti akidah, ilmu feqah dan tasawwuf. Anak-anak yang memperolehi kedua-dua ilmu itu sudah tentu dapat menseimbangkan antara ibadat khusus dan pekerjaan supaya antara kedua-duanya tidak diabaikan.
Anak-anak yang soleh pastinya anak yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada ibu bapa sama ada yang masih hidup atau sudah mati. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa apabila matinya anak Adam maka terputus amal ibadatnya kecuali tiga perkara, pertama : ilmu yang bermanfaat, kedua : sedekah jariah dan ketiga : doa anak-anak yang soleh. Jelaslah bahawa peranan anak-anak yang soleh yang mendoakan kesejahteraan kepada ibu bapanya amat penting bagi menjamin ibu bapanya sentiasa hidup bahagia, sejahtera dan diredhai Allah s.w.t di dunia dan akhirat.
Satu lagi peranan bagi seorang anak untuk mewujudkan keluarga cemerlang ialah menjaga nama baik keluarga. Anak yang soleh pastinya anak yang sentiasa berkelakuan baik walau di mana sahaja dia berada. Apa yang dilakukan adalah berlandaskan ajaran Islam yang suci walau dalam apa bidang yang diceburi. Anak-anak yang soleh tidak mudah terjebak ke lembah kehinaan seperti penyalahgunaan dadah, seks bebas dan sebagainya yang boleh memberi aib kepada ibu bapa dan keluarganya apatah lagi mengganggu gugat keharmonian negara.
Keluarga yang cemerlang bukan hanya diperolehi hasil dari hubungan antara anggota keluarga sahaja malahan hubungan dengan jiran sekeliling. Perhubungan kejiranan yang intim dapat diwujudkan bermula dengan berbual-bual mesra antara satu sama lain. Keluarga yang cemerlang bukan sahaja mewujudkan suasana yang harmoni di dalam keluarga bahkan keharmonian tersebut dapat dikongsi bersama sesama jiran. Sikap dan amalan yang negatif seperti mengumpat, hasad dengki, menyakiti jiran, menabur fitnah, mementingkan diri sendiri, anti sosial dan sebagainya, tidak ada dalam kamus keluarga cemerlang. Setiap anggota keluarga bermula dari ibu bapa sehingga anak-anak adalah sama-sama bertanggungjawab mewujudkan suasana harmoni sesama jiran. Oleh itu, keluarga yang cemerlang ialah anggota keluarga yang berhijrah meninggalkan elemen-elemen yang merosakkan hubungan dan semangat kejiranan.
Secara umumnya dapatlah ditegaskan di sini bahawa institusi keluarga merupakan unit masyarakat yang paling kecil yang menjadi titik tolak ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang lebih besar dan seterusnya membentuk sebuah negara. Mendirikan rumahtangga atau membentuk sebuah keluarga cemerlang merupakan satu tuntutan Islam dan sempurnanya separuh agama.
Program Rumahku Syurgaku diadakan untuk mengajak dan memandu masyarakat bagaimana untuk mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni, aman damai dan cemerlang. Tidak dapat dinafikan wujudnya percanggahan pendapat dan perselisihan kecil. Namun, berbekalkan iman dan takwa yang mantap, pasti fenomena berkeluarga sedemikian dapat diatasi dan dikawal dengan baik. Perselisihan pendapat adalah fasa penyesuaian satu-satu pasangan dan ia adalah proses kematangan mencapai kecemerlangan hidup berumahtangga.
Oleh itu, berhijrahlah diri dari sikap yang buruk dan pengaruh jahiliyah kepada acuan Islam yang pastinya memandu kita mewujudkan keluarga Islam yang harmoni lagi cemerlang dan berpeganglah kepada al-Quran dan Sunnah sebagai petunjuk hidup kita. Kikislah minda yang tidak bersesuaian dengan agama agar hidup kita akan diredhai oleh Allah dan mendapat keampunan-Nya.
Tarikh : 26 July 2000
[Ruzita Binti Mokhtar]
Editor : PRO JAKIM [Zakaria Bin Othman]
Hits : 14026
Cium anak pun boleh dapat pahala
Barangsiapa yang mengembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama
orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Orang yang menangis
takutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya.
Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat. Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak.
Barangsiapa keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah
dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan
tidak diseksa di Akhirat kelak.
Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama. Barangsiapa
memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil dia turut menanggung tiap-tiap dosa yang
dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu turut
diperolehinya.
Aqrak pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda Hassan. Aqrak berkata;
“Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium.”
Sabda Nabi SAW; “Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi..”
Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia
memikulnya ke rumah; pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat
berhajat. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka
barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi
Ismail.
Seorang lelaki bertanya; “Ya Rasulullah, kepada siapakah harus aku berbakti? ”
Jawab baginda; “Berbaktilah kepada ibu bapamu.”
Kata lelaki itu lagi; “Ibu bapaku sudah tiada lagi.”
Sabda Nabi SAW; “Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak
terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu.”
No comments:
Post a Comment